17.5.10

Benar kah?

Posted by Perak Today
Kenyataan bekas Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaludin yang menyifatkan Umno sebagai bahtera yang hampir karam boleh dianggap angkuh dan enggan menerima hakikat bahawa sokongan rakyat terhadap Pas semakin merosot ketika ini.

Nizar tidak perlu takut dengan bayang-bayang dan sewajarnya mengakui hakikat bahawa sokongan rakyat, khususnya orang Melayu terhadap Umno semakin meningkat berdasarkan keputusan beberapa pilihanraya kecil kebelakangan ini.

Keputusan pilihanraya kecil di Parlimen Bukit Gantang, Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang dan Parlimen Hulu Selangor jelas menunjukkan sokongan rakyat, terutamanya pengundi Melayu semakin kuat terhadap Umno. Dari mana Nizar dapat fakta kononnya Umno hampir karam?.

Nizar hari ini menyifatkan pelawaan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir terhadap Pemuda Pas untuk menyertai Umno sebagai kekeringan modal, dan katanya, “mana mungkin Pas akan memasuki parti yang hampir karam ini”.

Nizar tidak boleh mendabik dada kononnya Pas semakin kuat khususnya dalam PRU12 lalu sehingga membolehkan beliau menduduki kerusi Menteri Besar, sedangkan partinya hanya menang 6 daripada 21 kerusi DUN Perak yang ditandinginya. Umno pula menang 27 daripada 34 kerusi yang ditandingi.

Statistik ini jelas menunjukkan Umno masih diterima majoriti orang Melayu di Perak, walaupun bilangan kerusi yang dimenangi parti itu merosot berbanding PRU11.

Kemampuan Nizar menduduki kerusi Menteri Besar selepas PRU12 lalu hanya disebabkan parti Pas bergabung dengan DAP yang memenangi 18 kerusi DUN dan 7 kerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Apalah yang hendak dibanggakan dengan ehsan DAP dan PKR membolehkannya (Nizar) menjadi Menteri Besar. Kuat apakah Pas sebenarnya di Perak sekiranya parti itu sekadar dijadikan kuda tunggangan dan boneka kepada nafsu serakah dan politik chauvinis DAP?.

Jika Pas merasakan parti itu benar-benar kuat, saya mencabar parti itu bertanding sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN Perak dalam PRU13 nanti bagi membolehkannya membentuk Kerajaan Negeri tanpa bergantung kepada parti lain.

Umno Perak tidak akan mendabik dada dengan sokongan yang semakin bertambah dari rakyat ketika ini, sebaliknya akan terus fokus dengan matlamat untuk memberikan kesejahteraan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Umno Perak juga tidak akan terpengaruh dan terperangkap dengan dakyah palsu Pas kononnya parti itu berjaya menarik ramai ahli Umno walaupun pada hakikatnya perkara sebaliknya sedang berlaku.

Tiada ulasan: