Isnin, 31 Oktober 2011
Haji merupakan syiar Allah yang disuruh supaya kita membesarkannya. Membesarkan syiar Allah adalah manifestasi takwa yang bertapak di dalam hati kita.
ذَلِكَ وَمَنْ يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِنْ تَقْوَى الْقُلُوبِ
“Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat takwa hati orang mukmin.”
(Al-Hajj: 32)
Syiar haji sangat berbeza dan paling istimewa berbanding dengan yang lain. Ia menjadi mercu tanda paling agung yang membezakan umat Islam dengan umat-umat lain di dunia, dahulu dan sekarang.
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنْسَكًا لِيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَى مَا رَزَقَهُمْ مِنْ بَهِيمَةِ الأَنْعَامِ فَإِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَلَهُ أَسْلِمُوا وَبَشِّرْ الْمُخْبِتِينَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَالصَّابِرِينَ عَلَى مَا أَصَابَهُمْ وَالْمُقِيمِ الصَّلاةِ وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ
“Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu. Kerana Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu tunduk taat kepada-Nya; dan sampaikanlah berita gembira (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang tunduk taat; iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar (cekal hati) terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepadanya.”
(Al-Hajj: 34-35)
Haji merupakan syiar yang melambangkan kekuatan umat, kesediaan, keupayaan dan kesiapsigaannya untuk berjuang menghadapi segala bentuk cabaran dan rintangan demi menegakkan syariat serta mendaulatkannya.
Alangkah perlunya umat ini berkumpul untuk menyatukan kalimah, melihat kekuatan yang ada padanya, mempamerkan kehebatannya di hadapan musuh yang berselerak di segenap penjuru dunia. Sesungguhnya umat yang ramai bilangannya, mantap takwanya, teguh keazamannya serta utuh kesatuannya tidak mungkin gentar dan tewas.
Justeru, untuk melaksanakan ibadah yang begitu penting dan tinggi nilainya ini, kita dituntut membuat persiapan-persiapan serta mematuhi adab-adab tertentu. Antaranya:
1. Rukun haji pertama adalah niat. Niat bermula dengan keinginan yang tercetus di dalam hati, lalu dipupuk menjadi keazaman dan akhirnya tegaklah amalan. Dengan penuh rasa rendah diri, kehambaan yang hakiki, jemaah menetapkan azam berniat haji atau umrah sambil melafazkan talbiah menyatakan tulusnya niat, besarnya hajat, rindu yang amat kepada rumah Allah yang agung yang selama ini dihadap dari jauh ketika bersolat.
لبيك اللهم لبيك.. لبيك لا شريك لك لبيك.. إن الحمد والنعمة لك والملك.. لا شريك لك
Sebelum berniat, para jamaah telah mandi membersihkan diri daripada segala kekotoran lahiriah, mengerat kuku dan mencukur bulu-bulu tertentu.
Setelah selesai mandi dan menyucikan badan secara lahiriahnya, jemaah berdiri menghadap Allah menunaikan solat sunat ihram bagi menyucikan hati, jiwa, perasaan dan akal fikiran daripada segala unsur syirik serta sifat-sifat tercela. Dalam solat mereka membaca surah al-Kafirun pada rakaat pertama dan al-Ikhlas pada rakaat kedua.
Al-Kafirun adalah perisytiharan membersihkan diri daripada cara hidup yang tidak selari dengan syariat Islam serta kesediaan meninggalkan segala fahaman, adat resam dan budaya yang bercanggah dengan sistem hidup Islam, manakala al-Ikhlas pula pernyataan akidah tauhid yang suci murni yang tidak dicemari sebarang bentuk syirik sama ada secara zahir maupun secara tersembunyi.
Kemudian jemaah menanggalkan pakaian kebiasaannya, pakaian yang melambangkan status sosial, kedudukan, darjat dan sebagainya. Sekujur tubuh dibalut dengan hanya dua helai kain putih yang tidak bersarung (khusus bagi lelaki sahaja) sebagai lambang diri yang hina, tunduk dan patuh kepada Yang Maha Kuasa.
Setelah berniat ihram, kita dilarang melakukan beberapa perkara tertentu yang pada asalnya harus seperti memakai minyak wangi, memotong kuku, menggunting rambut dan sebagainya. Larangan ini bertujuan untuk mendidik kita supaya menghayati sifat kehambaan kepada Yang Esa. Kita tidak mempunyai apa-apa hak ke atas diri kita walaupun sehelai rambut. Kita tidak boleh menggunting atau mencabut dengan sewenang-wenangnya kerana ia merupakan amanah yang dititipkan Allah kepada kita.
2. Menunaikan haji memerlukan perbelanjaan yang agak besar. Segala perbelanjaan yang digunakan mestilah daripada sumber yang halal sahaja. Begitu juga halnya dengan perbelanjaan yang ditinggalkan untuk keluarga. Jika tidak, haji tidak diterima, segala pengorbanan terbuang dengan sia-sia. Ia secara tidak langsung menggalakkan Muslim berusaha mencari dan mengumpulkan harta melalui jalan yang halal semata-mata. Muslim yang menyimpan hasrat dan cita-cita untuk menyahut seruan haji akan mengelakkan diri daripada perbuatan yang haram seperti riba, rasuah, judi, memeras, mencuri, merompak, menyalahgunakan kuasa dan sebagainya. Hal ini dengan sendirinya dapat mengatasi masalah jenayah harta dan pelewengan dalam masyarakat. Apabila setiap anggota masyarakat, khususnya Muslim menjauhi sumber harta yang haram, maka hidup mereka akan dilimpahi keberkatan, doa mereka dikabulkan, terhindarlah kezaliman, penindasan dan ketidak adilan.
3. Tiba di Makkah jemaah menyempurnakan semua rukun dan wajib haji sebagaimana yang telah disyariatkan. Setiap rukun serta wajib haji mengandungi hikmah yang sangat besar dalam mendidik Muslim mukmin yang bertkwa, berhati suci dan berakhlak mulia.
Ketika wukuf di Arafah, kita bagaikan seorang hamba yang sedang menanti keputusan penghakiman daripada tuan yang sangat berkuasa. Kita duduk merayu-rayu, meminta-minta, menadah tangan dengan iringan lelehan air mata keinsafan. Tiada apa yang diharapkan selain keampunan dan dibebaskan daripada hukuman. Namun keampunan Allah lebih luas daripada harapan hamba-Nya. Rahmat-Nya lebih besar daripada taubat hamba-Nya. Diriwayatkan bahawa al-Fudhail bin ‘Iyadh radiallahuanhu ketika melihat manusia menangis pada hari Arafah, bertanya: “Cuba kamu fikir, sekiranya semua manusia ini berduyun-duyun mendatangi seorang lelaki meminta daripadanya daniq (1/6 dirham), adakah lelaki itu enggan memberikannya?” Orang yang ditanya menjawab: “Tidak. Tidak mungkin dia enggan memberikannya.” Maka al-Fudhail berkata: “Demi Allah! Sesungguhnya untuk Allah memberi keampunan lebih mudah daripada lelaki itu memberi daniq.”
Melontar jamarat di Mina menunjukkan keazaman yang kental untuk membuang segala dosa, sifat tercela dan hasutan syaitan serta bala tenteranya yang terdiri daripada jin dan manusia.
Tawaf di Baitilah dan sa’i di antara Safa dan Marwah melambangkan kesungguhan seorang hamba meminta hajat daripada Tuhannya. Dia seolah-olah berlegar-legar di sekeliling Tuannya, tidak mahu pergi jauh daripada-Nya sehinggalah hajatnya terlaksana dan permintaannya diterima.
4. Setelah selesai melaksanakan semua amalan yang dituntut, jemaah pulang sebagai seorang insan yang baru. Nabi sallallahu alaihi wasallam menyatakan bahawa orang yang mengerjakan haji, dan dia tidak melakukan dosa, tidak bertengkar dan tidak berbuat maksiat, nanti dia pulang daripada haji seperti hari dia dilahirkan ibunya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan