Seorang muslim adalah pemilik sebuah taman yang indah. Dia menikmati
kehidupan di dunia ini walaupun di hadapannya adalah cubaan dan ujian
hidup yang penuh rencam dan ragam. Dia menikmati kehidupan kerana dia
sedang berada di sebuah taman indah yang penuh tenang dan harmoni.
Taman itu adalah taman iman. Ia terbina tanpa sedar di dalam diri
orang yang beriman. Ia pastinya tidak boleh dilihat dengan mata kasar
atau dipegang dengan tangan. Tetapi ia tetap menjadi sebuah taman yang
memenuhi maksud pembinaan sebuah taman ia mencetuskan kesegaran dan
menikmati keindahan dalam kehidupaan dan saat ketikanya menjadi tempat
berlindung daripada hiruk pikuk kekacauan dan kebengitan hidup. Tidakkah
sebuah taman yang dibina secantiknya di dunia ini kadang-kadang tidak
pun membahagiakan pemiliknya? Dia memilikinya tetapi hidupnya sendiri
penuh kesedihan dan kesengsaraan. Dia berjalan-jalan di tamannya itu,
tetapi dia tidak pernah gembira dan menikmati segala isi taman yang
dibina secantiknya itu.
Ertinya sebuah taman yang indah hanyalah berfungsi apabila ia mampu
membuang kesengsaraan di dalam hati, bukan sekadar membeliakkan mata
dengan keindahan dan kesegarannya itu. Jika tidak, semua taman itu tidak
ubah seperti sebuah hospital yang gagal membuang sebarang penyakit
walaupun
diisi peralatan perubatan yang canggih dan hebat.
Semuanya kerana kehidupan ini bermula dari hati yang berada di dalam jantung yang dipagari jasad diri seorang manusia.
Hati itulah enjin yang menggerak dan menjana kehidupan
lahiriyah manusia. Di dalamnya manusia mengisi maklumat dan
pegangan kehidupan lalu terciptalah sebuah pandangan hidup
yang akhirnya membina sebuah laluan hidup yang akan
dilaluinya sepanjang masa.
Laluan itulah yang membina taman buat orang yang beriman. Dia berjalan di dunia zahir ini, tetapi hakikatnya dia
berjalan di dalam taman miliknya sendiri di dalam dirinya.
Walau susah dan walau sukarnya kehidupan zahirnya, dia tidak pun kecewa dan berputus asa kerana tamannya tak pernah
terjejas dan rosak oleh ancaman dan ujian lahiriah yang
ditempuhinya. Tiada siapa pun akan mengganggu dan merosakkan tamannya itu.
Kita mungkin sukar menggambarkannya atau memahami hakikat wujudnya taman dalam diri sendiri. Kita biasa berbicara
mengenai iman di dalam dada, tetapi kita jarang memahami
atau melihat hakikat bahawa iman itu sebenarnya juga adalah
sebuah taman. Sebabnya mungkin kita jarang berusaha
mentamsilkan atau menjasadkan sesuatu yang batiniyah dan
metafizikal sifatnya. Sesuatu yang tidak nampak akan lebih
difahami jika kita mampu membina sebuah perummaan dengan
sesuatu yang lahir dan boleh dilihat. Pernahkah anda
mendengar Rasulullah sallaLlahu alaihi wasallam telah
mengumpamakan agama Islam adalah ibarat sepohon tamar?
Lihat, dengan mencongak kelebihan dan sifat pohon tamar,
kita akan melihat bagaimana agama Islam itu terbina dan
memberi kemanfaatan kepada manusia.
Begini, agar kita lebih memahami, di akhirat nanti orang-orang yang
beriman dijanjikan Allah dengan sebuah taman yang luas dan serba indah.
Namanya syurga. Mengapa janji syurga? Mengapa persembahan iman yang
luhur daripada kita di dunia
ini tidak diganti dan diganjari dengan iman yang lebih luhur
dan lebih agung? Tidakkah iman itulah yang paling mulia dan
berguna? Atau iman di dunia diganjari dengan hidup semula di
dunia ini yang lebih baik sebagaimana kepercayaan beberapa
ugama lain di dunia ini? Mengapa kita diganjari dengan
sebuah taman yang indah jika baik amalan kita dan jika buruk
amalan di dunia, kita ditakutkan dengan pembalasan sebuah
kawah api yang besar iaitu neraka?
Jawabannya adalah kerana iman itu sebenarnya adalah taman yang kita
bina di dunia. Taman dibalas taman kerana ia adalah iman yang dibalas
iman. Justeru di akhirat nanti tiada ganjaran paling tepat yang layak
diterima oleh manusia beriman selain sebuah taman yang dibina Allah
untuk mereka. Kita hanya perlu masuk dan menikmatinya sepuas-puasnya
sebagai sebuah pembalasan yang hebat dan sempurna.
Begitulah balasan. Kita bina di dunia, lalu Allah membina untuk kita
di akhirat nanti. Kita membina iman di dunia yang kewujudannya tidak
dilihat, lalu balasannya di akhirat nanti adalah iman yang boleh dilihat
dan dinikmati secara zahir.
Pahala dan dosa tidak boleh dilihat di dunia, tetapi di akhirat nanti
pahala dan dosa boleh dilihat, diukur dan ditimbang. Malaikat dan iblis
tidak boleh dilihat di dunia, tetapi di akhirat nanti mereka boleh
dilihat semudah dan seterang-terangnya. Yang ghaibiyat di dunia hari ini
adalah yang nyata, masyhudah dan tersaksi di akhirat nanti.
Begitulah juga rupanya kufur dan syirik. Ia tidak dilihat
fizikalnya di dunia sedangkan hakikatnya dizahirkan di
akhirat nanti sebagai sebuah kawah api yang membakar yang
penuh sengsara.
Apabila kita memahami ini, maka tiba masanya kita melihat dan
memasuki taman iman yang kita sebagai seorang yang beriman telah binanya
di dalam diri kita. Dan hakikatnya, kita sedang berlari-lari di
sekelilingnya menikmati apa yang telah kita bina itu. Apakah isi-isi
atau tanam-tanaman yang telah kita sirami dan hiasi taman kita itu
semoga kita mampu terus menjaganya, memugarinya dan menyuburkannya
sentiasa untuk dinikmati kesegaran dan ketenangannya sepanjang hayat.
Saya akan melorongkan anda untuk melihat beberapa sudut taman yang
begitu menonjol.
Pertama, ilmu pengetahuan. Islam mengagungkan ilmu dan memuliakan
orang yang berilmu. Kemudian, Islam menyuruh umatnya meneroka sehingga
mencapai ilmu hakikat sesuatu. Ini kerana ketenangan jiwa hakikatnya
bermula daripada ilmu dan maklumat yang hakiki dan benar yang diperolehi
oleh manusia.
Ilmu itu makanan untuk diri manusia dan kewujudannya. Tanpa ilmu
manusia bertukar menjadi haiwan yang akan merosakkan kehidupan sendiri
dan muka bumi. Islam datang dengan dua pakej di atas iaitu mengagungkan
ilmu dan menyeru kepada ilmu yang hakiki, benar dan bermanfaat. Ia
keistimewaan yang tiada dimiliki oleh seluruh ajaran dan ugama manusia
di dunia ini.
Bangsa Eropah walaupun kaya dengan ilmu, tetapi mereka gagal membina
satu disiplin yang tinggi untuk memisahkan ilmu yang salah daripada yang
benar. Akhirnya, dengan berpegang dan membina pandangan berdasarkan
ilmu yang salah, mereka akan dilanda pelbagai persoalan yang tak
terjawab di samping kekeliruan yang memeningkan. Sebagai contoh,
walaupun mereka percaya kepada ketuhanan ‘trinity’, tetapi ilmu, kajian
dan logika yang mendalam semakin mengelirukan mereka sendiri di dalam
meyakini kebenaran pegangan mereka sendiri. Kesannya, mereka berpegang
pada kepercayaan yang gagal dinikmati keseronokannya dan dirasai
ketenangannya.
Islam dan iman yang dibina di atas ilmu yang benar adalah sebaliknya.
Semakin didasari lautan ilmunya, semakin digali kedalamannya, semakin
bersinar-sinarlah mutiara kebenaran dan semakin teguhlah kepercayaan
yang dibina itu. Akhirnya orang-orang yang beriman seolah-olah sedang
menari-nari di taman diri yang begitu indah dan mengasyikkan.
Kedua, mengenali Allah. Ini adalah kemuncak pembudayaan menuntut ilmu
dan mengagungkannya yang disarankan oleh agama Islam. Manusia akan
mencapai kemanisan hidup apabila dia, melalui pencarian ilmu dan
penerokaan terhadap alam dan kewujudan, akhirnya menemui permulaan
segala sesuatu yang tiada apa lagi sebelumnya dan pengakhiran segala
sesuatu yang tiada apa lagi selepasnya. Dia menemui Allah sebagai
pencetus kewujudan dan penciptanya. Sudah pasti ia adalah
penemuan dan pengenalan terhadap ghaibiyyat yang nyata dan
hebat yang tidak mungkin ditemui kecuali dengan petunjuk dan
suluhan hidayat tuhan yang maha berkuasa itu.
Allah adalah hakikat kewujudan. Mengenali dan mengingatiNya adalah
sumber ketenangan dan kebahagiaan. Memiliki ilmu mengenali Allah adalah
bagai permata kehidupan tiada nilai taranya. Apatah, semakin diburu
ilmu, semakin pula dilihat dan dikenali Allah yang maha penuh dengan
rahsia kebesaran, keagungan dan kekuasaan. Apabila seorang muslim
menggerakkan otaknya untuk bekerja dan berfikir, dia akan menikmati
saat-saat itu kerana dia seolah-olah semakin menghampirkan dirinya
kepada Allah yang menciptakannya.
Begitulah orang-orang yang beriman. Mengenali Allah ibarat suasana
segar yang menyelubungi taman hatinya sehingga dia sentiasa menikmati
kehidupan di luar tanpa menghiraukan hiruk pikuk kehidupan lahiriyah
yang memenatkan.
Ketiga, al Quran. Inilah taman yang indah. Inilah sumur yang jernih
dan inilah sumber ilmu dan ilham kehidupan yang menghiburkan. Al Quran
adalah perkhabaran langit ibarat hujan yang turun lalu menghijaukan muka
bumi dengan kesegaran dan kesuburan. Orang-orang yang beriman akan
berebutan datang kepadanya untuk mengambil segala isi dan panduan buat
memenuhkan kehidupan mereka dengan dendangan ilmu hakiki dan bermanfaat.
Carilah di dunia ini yang seumpama al Quran atau sebahagian
daripadanya atau walaupun sekadar satu ayat daripadanya untuk ditandingi
kehebatan, kebenaran, keindahan dan kesesuaiannya untuk mengangkat
kehidupan manusia. Jawabannya adalah mustahil walaupun ia terus dicabar,
ditohmah dan diserang dari pelbagai sudut oleh musuh yang memusuhinya.
Mengapa? Ya, kerana al Quranlah sebuah kitab langit yang tiada syak lagi
pada ketulenannya daripada Allah. Ia dibuktikan secara ilmiah sebagai
kitab yang kekal asli dan disaksikan penjagaan langsung oleh Allah ke
atasnya lalu meninggalkan kitab-kitab langit lain yang sudah pun
diterima hakikat penyelewengan dan pemalsuan ke atasnya oleh
tangan-tangan manusia oleh dunia ilmiah dan para akademia.
Keempat, al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Baginda adalah nabi dan
qudwah kehidupan. Baginda adalah tafsiran al Quran yang hidup berjalan
di muka bumi mengajar dan memandu manusia membina, menikmati dan
mensyukuri kehidupan anugerah Ilahi. Baginda adalah bagai gedung akhlak
dan budi pekerti mulia yang membekalkan pakaian indah buat membaluti
tubuh manusia dengan nilai-nilai kemanusiaan yang menakjubkan yang
mengangkat martabat kemanusia di alam malaikat dan samawi.
Rasulullah adalah idola kehidupan orang-orang beriman. Mereka tidak
pernah buntu dan kandas menaiki tangga kemulian dek baginda yang
sentiasa memberi dorongan dan galakan sepanjang masa, di saat senang dan
susah, luas dan sempit, juga saat mudah dan sukar. Carilah seorang
insan yang seumpama baginda dan sesempurnanya yang diikuti segenap gerak
dan langkahnya menuju kesempurnaan diri. Sudah pasti kita tidak akan
menemuinya.
Kelima, amal yang soleh. Seorang muslim sentiasa subur dan lebat
dengan daunan, bungaan dan buah-buahan yang sentiasa menggamit kecintaan
dan hiburan. Dia akan sentiasa bersemangat untuk beribadah dan
berkhidmat melakukan
kebajikan dan kesenangan kepada manusia. Dia memahami diri sebagai
seorang khalifah Allah yang mesti berbakti kepada Allah dan makhlukNya.
Justeru dia menikmati kehidupan berbakti dan beramal soleh.
Allah memperkenalkan dan menunjuki orang-orang beriman dengan amal
dan ketaatan. Solatnya tersemat kekhusyukan, zakatnya menebar kasih
sayang, pergerakan dan langkahnya dinanti-nantikan kebaikannya dan
jihadnya menghunus keberanian dan keyakinan sejati.
Demikianlah sebuah jaulah dan santai di taman hati seorang muslim
yang beriman kepada Allah. Ia sebuah taman rahsia yang gagal ditembusi
unsur yang jahat dan kotor. Sebuah taman larangan yang dikhususkan buat
pemiliknya yang inginkan sebuah kehidupan bahagia dan membahagiakan
kehidupan itu sendiri. Taman-taman milik para mukminin ini
akhirnya akan diterjemahkan dengan pembalasan yang sempurna
di akhirat nanti oleh Allah dengan sebuah syurga yang indah
seluas langit dan bumi.
Justeru bersegeralah kita menuju keampunan Allah dan syurganya itu
yang disiapkan untuk orang-orang yang bertaqwa kepadaNya. Semoga Allah
menunjuki kita di liku-liku kehidupan yang sukar ini. Amin.
(Artikel ini adalah untuk kolum ‘Menuju Akhirat’, majalah Fardu Ain.)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan