10.5.12

SUKARNYA UNTUK BERUBAH



AKHBAR Sinchew Daily bertarikh 7 Mei 2012 melalui ruangan Pendapat memaparkan tulisan Timbalan Pengarang Akhbar, Lim Ming Fah berkaitan kesukaran untuk berubah dalam politik.
Pada 2 September 1998, Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan. Beliau serta-merta bertindak balas mencadangkan perubahan kepada rakyat dengan slogan ‘jangan padam api yang bersemarak’. Pada 20 September tahun sama, beliau adakan perhimpunan di Dataran Merdeka dengan perangkaan polis sekitar 60,000 orang hadir sementara angka dari orang awam menyatakan seramai 100,000 orang yang hadir.
Selepas Anwar ditangkap, setiap Sabtu penyokongnya berkumpul di Kuala Lumpur membuat bantahan. Pihak polis laksanakan tindakan keras; orang yang lakukan demonstrasi dituduh berniat mahu lakukan huru-hara, merosak harta benda awam, membakar di jalanan dan mahu menggulingkan kerajaan pilihan rakyat.
Selepas 28 April 2012, timbul kembali tuduhan yang sama: para penunjuk perasaan dituduh mahu menggulingkan kerajaan; pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula menuduh penunjuk perasaan mahu merosakkan ketenteraman awam, media-media utama memberi pandangan mahu negara ini stabil.
Taktik yang digunakan 14 tahun lalu pasti boleh menyebabkan orang rasa takut terutama sekali kaum Cina. Sebab itu pada PRU 1999, BN melalui tiket undi orang Cina dapat menghalang gelombang kuasa pembangkang dari kalangan orang Melayu.
Selepas tsunami politik Mac 2008, Datuk Seri Najib Tun Razak berhasrat membuat perubahan dan membuka luas sekatan untuk menyelamatkan keadaan tetapi angka dalam perhimpunan 28 April dikatakan lebih ramai daripada perhimpunan 9 Julai 2011. Kini, taring UMNO telah naik ke permukaannya, sama seperti rentak dan slogan yang digunakan pada 14 tahun lalu iaitu ‘Api Semarak’.
Perhimpunan 28 April telah berlaku sebelum PRU diadakan, adakah ia akan akan berlaku sama seperti PRU 1999? Di sini ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan.
Pada 14 tahun lalu, dunia Internet tidak begitu maju, menyeluruh dan pesat.
Orang ramai kurang mendapat maklumat yang luas dan menyeluruh seperti hari ini. Kini dunia Internet telah meluas, pemerintah sudah kehilangan kekuatan dan kedudukan hujah-hujah mereka.
Pada 14 tahun lalu, Anwar melambangkan pembangkang menentang pemerintah, hari ini sesiapa sahaja boleh muncul dan boleh pergi. Ramai yang hadir pada perhimpunan 28 April tidak semestinya menyokong Anwar.
Pada 14 tahun lalu, perhimpunan diadakan kerana orang tidak puas hati terhadap Mahathir, sebaliknya perhimpunan pada hari ini mereka mahukan sistem yang sihat. Pada 14 tahun lalu, mereka beremosi, hari ini kebanyakannya datang dari kepercayaan dalam jiwa. Pada zaman itu, ramai orang rasa takut, hari ini mereka telah membuat persediaan dan berpandangan jauh terhadap berdemokrasi.
Pada 14 tahun lalu, kes liwat Anwar sebagai logo politik yang terkebelakang. Hari ini selain kes Anwar dan skandal Azmin Ali, dikatakan ada empat orang lagi pemimpin pakatan pembangkang terlibat dalam skandal video seks.
Pada Jun 2010, dalam segmen rencana, saya telah menyentuh perubahan dan agenda politik UMNO. Dikatakan “jika tidak ubah polisi, UMNO boleh dapat sokongan pengundi atas pagar dan jika tidak menyinggung perasaan orang bersikap konservatif dalaman parti, UMNO akan dapat sokongan".
Kebenaran ini membuktikan, jika berlaku sesuatu, UMNO akan serta-merta ubah haluan. Perubahan untuk negara ini memang benar-benar amat susah!
BERSIH 3.0 TIDAK KOLOT ATAU MEMALUKAN?
AKHBAR China Press bertarikh 8 Mei 2012 melalui ruang Kedai Kopi Orang Ramai memaparkan tulisan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching berkaitan perhimpunan Bersih 3.0.
Peserta yang hadir dalam perhimpunan 28 April mempunyai niat yang mudah dan jelas, mereka berharap dapat adakan satu pilihan raya yang bersih dan mahukan sebuah negara yang hijau dan mesra alam. Apa yang disebut oleh Perdana Menteri adalah Bersih mahu menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.
Kata-kata ini tidak semuanya betul dan tidak semuanya salah.
Apa yang peserta mahu dalam perhimpunan Bersih sebab pihak tertentu tidak dapat kotakan janji iaitu sebuah kerajaan yang bersih dalam pilihan raya. Jika Najib anggap kerajaan beliau tergugat dalam perhimpunan Bersih, saya anggap beliau risau kerana BN berkuasa bukan hasil pilihan raya yang bersih.
Baru-baru ini, ada sekumpulan pertubuhan Melayu dari Baling, Kedah dan Kuala Lumpur membakar potret Ambiga dan Anwar serta mahu kerajaan lucutkan kewarganegaraan Ambiga supaya dapat halang berlakunya perhimpunan Bersih 4.0.
Apa yang saya boleh umpamakan adalah seperti ‘berpandangan cetek’. Kerana kebodohan mereka itu, saya tidak tahu sama ada mahu bersimpati ataupun mentertawakan mereka kerana tidak faham perhimpunan Bersih bukan dicetus oleh Ambiga seorang diri.
Lucutkan kewarganegaraan Ambiga tidak semestinya dapat menghalang semangat itu untuk terus membara.
Sebaliknya, orang yang ambil bahagian dalam kempen ini akan lebih bersemarak dan bertambah ramai serta berlipat ganda lagi.
Contohnya, pihak kerajaan boleh rampas kewarganegaraan pejuang pendidikan Cina, mendiang cikgu Lim Lian Geok tetapi bukankah bara kempen pendidikan Cina tidak semakin meluas?
Saya sebagai seorang peserta yang hadir dalam perhimpunan 28 April berpendapat jika peniaga sanggup buka premis mereka pada hari tersebut, pasti perniagaan mereka semakin meningkat kerana setiap peserta yang hadir mencari lokasi kedai jualan kerana mahukan makanan dan minuman.
Malangnya, kebanyakan kedai tutup pada waktu itu, menyebabkan beberapa restoran yang berniaga tidak cukup tangan melayan pelanggan yang hadir tidak putus-putus. Apa sebenarnya yang dimaksudkan perhimpunan Bersih menggugat periuk nasi peniaga? Saya berani berkata, sebenarnya dan sebetulnya, perhimpunan Bersih telah membawa banyak rezeki tidak terhingga kepada peniaga!
Minggu lalu, saya buat lawatan ke peti-peti undi. Setiap kali saya bertanyakan “hari itu anda hadir atau tidak ke perhimpunan Bersih?" Tidak kira mana-mana kaum ataupun agama jawapan yang saya terima ialah “of course!". Mereka tidak anggap perhimpunan Bersih 28 April itu kolot ataupun boleh memalukan.
Kebanyakan peserta yang hadir juga sedar, pengalaman mereka pada 28 April dan laporan berita utama yang mereka baca tentang isu itu dua cerita yang amat berbeza.
KESAN NEGATIF GAJI MINIMUM
AKHBAR Nanyang Siang Pau bertarikh 4 Mei 2012 melalui ruangan pendapat Yuanlun memaparkan tulisan editorial akhbar itu berkaitan gaji minimum sektor swasta.
Malam sebelum menjelang Hari Pekerja pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri mengumumkan tangga gaji minimum swasta RM900 bagi Semenanjung dan RM800 bagi Sabah dan Sarawak yang akan berkuat kuasa enam bulan selepas diumumkan.
Kementerian Sumber Manusia juga menegaskan, pihak majikan dan pekerja tidak boleh bersetuju secara berasingan berkaitan tangga gaji minimum.
Jika didapati berlaku seumpama itu, bermakna majikan telah melanggar undang-undang yang telah ditetapkan dan akan hadapi tuduhan serta denda ataupun dipenjarakan.
Jaminan yang diberi oleh kerajaan adalah langkah untuk kebajikan kepada golongan berpendapatan rendah bagi mengubah tahap kemiskinan dan tingkatkan kualiti hidup. Pada dasarnya, hidup golongan berpendapatan rendah terjamin dan kepenggunaan juga akan semakin ditingkatkan.
Selepas skim tangga gaji minimum swasta ini dilaksanakan, akan berlaku kesan-kesan yang perlu kita ambil perhatian seperti kesan kepada industri kecil dan sederhana (IKS) dan kepada kos tenaga kerja. Adakah mereka akan gulung tikar ataupun mengurangkan pekerja-pekerja?
Adakah pelabur asing akan angkat kaki keluar dari negara ini? Keadaan seperti ini berkemungkinan akan berlaku dan menyumbang kepada peningkatan pengangguran.
Selain itu, adakah pihak industri akan tingkatkan harga untuk dibebankan kepada pengguna yang seterusnya menyumbang kepada inflasi? Kenaikan kos tenaga buruh tidak dapat membendung kenaikan harga barang. Apabila berlaku perkara ini, niat dan kesanggupan kerajaan membantu golongan berpendapatan rendah ini sebaliknya mendapat hasil negatif.
Kerisauan IKS bukan tiada penyebabnya, semua orang sudah sedia maklum perlaksanaan tahap tangga gaji minimum. Jawatankuasa 1 Mei menganggap tangga gaji minimum sepatutnya RM1,500; Ketua Menteri Pulau Pinang anggap gaji minimum sepatutnya RM1,100; Presiden Kesatuan Pekerja Sarawak pula anggap gaji minimum RM800 itu tidak wajar.
Pihak kerajaan sepatutnya melaksanakan tangga gaji minimum secara menyeluruh dan lengkap berdasarkan fakta dan ekonomi. Memikirkan apabila laksanakan tangga gaji minimum dapat memastikan tidak membawa kenaikan harga barang, dapat stabilkan paras inflasi dan pada masa sama, tumpukan kepada peningkatan pengeluaran dan kurangkan pengangguran.
Jika tidak, pelaksanaan gaji minimum akan merugikan dan tidak membawa sebarang makna, tidak dapat capai jaminan atau hasil yang dijangkakan kepada golongan berpendapatan rendah.

Tiada ulasan: