KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mahu seluruh rakyat
supaya menjadikan alam sekitar sebagai sahabat baik kerana musibah
banjir yang berlaku ketika ini mempunyai hubung kait daripada perbuatan
manusia.
Titah baginda, rakyat perlu bermuhasabah dengan apa yang dilakukan
selama ini dan perlu memperbaiki kesilapan yang telah dilakukan.
"Marilah kita menghulurkan tangan persahabatan dengan alam sekitar dan
marilah kita sedar bahawa segala macam musibah bencana dan malapetaka
yang terjadi semua itu akibat daripada olahan tangan-tangan kita.
"Semoga ALLAH mengampuni kita semua dan menjadikan musibah ini dengan
kebaikan yang banyak," titah baginda dalam teks yang diedarkan kepada
media di sini, hari ini.
Baginda juga mahu rakyat agar tidak menyebarkan berita yang boleh menambahkan kekeruhan terhadap musibah yang berlaku itu.
"Janganlah ada dalam kalangan ahli masyarakat yang tidak sensitif dan
ingin menangguk di air keruh dengan menyebarkan berita-berita yang boleh
menambahkan kekeruhan dan kekusutan," titah baginda.
Titah baginda ujian yang dialami ketika ini bukan masanya untuk saling menyalahkan sesama sendiri.
Baginda turut mengucapkan takziah kepada rakyat Kelantan yang terjejas
banjir dan berharap mereka menerima ketentuan ALLAH itu dengan penuh
berlapang dada.
"Banjir yang berlaku ini adalah sebahagian daripada qada dan qadar
ALLAH. Hal ini harus diyakini dan diimani," titah baginda. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan