23.5.10

Tiga ADUN Kedah lompat

Tiga orang wakil rakyat PKR tampil di satu perhimpunan anjuran PAS di Kota Sarang Semut dekat Alor Star Sabtu malam untuk menafikan desas desus hangat mengatakan mereka nak lompat parti. Turut serta ialah wakil rakyat tunggal DAP.

Menteri Besar Datuk Seri Azizan Razak pula memberitahu kerajaan Kedah tidak akan tumbang sekalipun mereka lompat kerana PAS tetap ada majoriti dengan 16 orang Ahli Dewan Undangan Negeri.

Tiga orang ADUN PKR yang berkenaan ialah S. Manikumar dari Bukit Selambau, Lim Soo Nee dari Kulim dan , Tan Show Kang dari Sidam .ADUN DAP ialah Lee Guan Aik dari Kota Darul Aman.

BN kini ada 14 ADUN manakala dua lagi ialah ADUN Bebas bekas ADUN PKR yang lompat parti iaitu Mohammad Radzhi Salleh dari Lunas dan Tan Wei Shu dari Bakar Arang.

Perhimpunan berkenaan diadakan untuk mematikan cakap-cakap dan laporan media yang mendakwa kerajaan negeri pimpinan PAS kini goyang dan mungkin DUN dibubarkan untuk mengadakan pilihanraya semula.

Dalam ucapan masing-masing kesemua mereka telah menyalahkan media UMNO kerana mainkan berita mereka nak lompat parti.

Mereka meminta media menghentikan spekulasi berkenaan kerana mereka tidak akan lompat parti.

Mereka juga meminta media jangan lagi hubungi mereka untuk mengulas mengenai hal berkenaan.

Kira-kira 2,000 orang hadir di himpunan itu.

Sementara itu tengahari Sabtu Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ditanya media mengenai desas desus politik Kedah berkata beliau hanya tahu hal berkenaan menerusi media.

“Kita di peringkat BN, tak mahu ambil apa-apa pendirian sehingga hari ini, saya cuma dengar laporan dari media. Saya tak tahu apa-apa cerita,” ujarnya selepas menghadiri Hari Keluarga Bersama Rakyat di PPR Sungai Bonus dalam Parlimen Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Tambah beliau “sehingga apa-apa berlaku, maka sehingga itulah kita menerima status quo yang sediada, saya tidak mahu nak menjangkakan kerana saya tidak tahu apa kedudukan sebenarnya.”-22/5/2010



Tak timbul soal UMNO Mahu rampas kuasa di Kedah : Shafie Apdal

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan UMNO cuba merampas kembali negeri itu daripada Pas dengan cara menarik anggota dewan undangan negeri di negeri itu untuk melompat parti.

"Itu hanya khabar angin sahaja dan tiada timbul soal rampas merampas," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dengan Exco-exco Luar Bandar (Mexclub) di Desaru dekat Kota Tinggi Khamis.

Shafie, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, berkata UMNO Kedah pada masa ini hanya memberikan tumpuan kepada usaha membantu rakyat di negeri itu melalui agensi persekutuan yang sedia ada.

Bernama melaporkan beliau menolak dakwaan konon adanya dalang daripada Umno yang merancang rampasan kuasa di Kedah.

Terpulang kepada anggota Pakatan Rakyat jika mereka mahu melompat parti," katanya.

Tiada ulasan: