Pas sedia mengkaji semula hubungannya dengan DAP pada masa hadapan jika pemimpin parti tersebut berterusan 'menikamnya' daripada belakang khususnya berhubung isu konsep negara Islam.
Ketua Dewan Pemuda Pas pusat, Nasruddin Hassan berkata, parti itu harus membuat satu penegasan bahawa tiada gunanya kerjasama yang dibentuk sekarang, jika pemimpin DAP berterusan mempertikai asas yang sepatutnya dihormati.
"Kita hanya bersetuju dengan kerjasama ini, selama mana wujudnya rasa hormat-menghormati antara rakan dalam pakatan. Kalau dasar kita dipertikai ia sukar untuk meneruskan kesepakatan itu.
"Jadi saya menasihati Karpal Singh supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan. Rujuk balik kesepakatan yang telah dicapai semasa konvensyen pakatan yang lalu," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi DAP itu yang menolak konsep negara Islam yang diperjuangkan Pas jika pembangkang menang dalam pilihan raya umum akan datang.
Mengulas lanjut, Nasruddin berkata, sebenarnya pada konvensyen pakatan pembangkang yang lalu, semua parti telah bersetuju untuk saling menghormati asas perjuangan parti masing-masing.
"Saya tidak faham mengapa Karpal terus bersikap konsisten untuk tidak menerima Islam. Apa yang tidak kena dengan Islam? Di mana kurangnya konsep Islam? Jelaskan. Saya mengingatkan kepada Karpal supaya jangan menyentuh sensitiviti ini.
"Bila kita suruh dia melihat sendiri bagaimana Pas mentadbir Kelantan sampai sekarang dia tidak beri maklum balas. Jadi tidak wajarlah sikap yang sama (menolak konsep Islam) di ambil secara berterusan," tegasnya.
Mengenai tindakan Karpal itu, Nasruddin memberitahu, beliau akan membangkitkan bantahan Pas dalam mesyuarat pakatan pembangkang yang akan datang bagi memastikan tokoh politik veteran DAP itu tidak mengulangi kenyataan yang sama.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima terlebih dahulu Islam yang diperjuangkan oleh Pas sebagai satu model pentadbiran bagi menilai sendiri keberkesanan konsep negara Islam.
Menurutnya, melalui kaedah tersebut ia akan memberi keadilan kepada Pas dan Islam, kerana keberkesanan sesebuah konsep perjuangan hanya boleh dibuktikan melalui eksperimen.
"Jangan ditentang secara semberono tanpa kajian, apatah lagi jika pendirian itu dibuat berdasarkan tanggapan daripada orang yang tak faham mengenai Islam dengan sebenarnya," katanya. Utusan
DES : Alhamdulillah...PAS memang wajib menilai semula hubungan songsang mereka dengan DAP. Sekurang-kurangnya situasi ini bakal menyediakan alternatif lain bagi pengundi-pengundi Melayu untuk dibela nasib mereka.
Bukan hanya DAP, malah PKR sekalipun tidak layak untuk berdamping dengan PAS. PAS adalah satu parti yang boleh berdiri tanpa mana-mana sokongan selagi hala tuju mereka konsisten membela nasib bangsa dan agama di negara ini!
Posted by Desperado at Sunday, July 04, 2010
Labels: DAP, PAS, PKR
Tiada ulasan:
Catat Ulasan